banneraku

'

Rule Of Third

Sudah sekian lama saya tidak menulis tips untuk fotografi. Kini saya kembali dengan tutorial terbaru. Untuk entri kali ini, saya akan memperkenalkan kepada anda semua tentang Rule Of Third. Apa itu Rule Of Third? Bagaimana ianya berfungsi? Bagaimana ini dapat menjadikan gambar yang terhasil lebih cantik? Semua ini akan saya terangkan dalam entri kali ini.



Sumber Wikipedia
Prinsip Rule Of Third merupakan prinsip komposisi fotografi yang diamalkan oleh semua jurufoto professional apabila mengambil gambar. Untuk menggunakan prinsip ini, pertama sekali anda perlu membayangkan dua garisan mendatar yang membahagikan sama rata sebelah atas, tengah dan bawah gambar. Kemudian anda perlu membayangkan dua lagi garisan menegak yang membahagikan sebelah kiri, tengah dan kanan gambar seperti dalam gambar di sebelah.

Apabila anda ingin mengambil sesuatu gambar, cari bahagian penting dalam gambar anda untuk diletakkan dalam gambar. Bahagian penting itu haruslah diletakkan di titik-titik persilangan antara garisan-garisan tersebut. Mata manusia akan lebih terpengaruh untuk melihat pada 4 titik persilangan itu. Jadi, letaklah subjek anda di salah satu dari empat titik persilangan itu. Gambar anda pasti akan lebih menarik! Rajinkan diri anda untuk membuat eksperiment dan lihat hasilnya. Anda akan faham.

Bukan itu sahaja, Rule Of Third juga memberikan 4 garisan yang amat berguna untuk anda. Anda boleh menggunakan garisan itu untuk meletakkan horizon atau garis pemisah antara langit dan bumi. Gambar anda tidak akan nampak boring dengan menggunakan prinsip ini jika dibandingkan dengan gambar yang biasa yang mana anda meletakkan horizon di tengah-tengah gambar.

Di bawah merupakan contoh gambar yang mengaplikasikan penggunaan Rule Of Third dalam foto tersebut.

*sumber www.digital-photography-school.com 
Dalam gambar di atas, mata subjek dijadikan sebagai titik tumpuan dan diletakkan di titik persilangan dan garis mata diletakkan di sepanjang garis di sebelah atas menampakkan keaslian gambar.

*sumber www.digital-photography-school.com 
Gambar ini pula mengambil tubuh subjek sebagai titik tumpuan dan diletakkan di sepanjang garisan Rule Of Third.

Gunakan Rule Of Third apabila mengambil gambar dan gambar anda pasti akan menjadi lebih cantik. Prinsip ini bukanlah satu kemestian untuk diguna, tetapi ia adalah asas dalam penghasilan gambar yang cantik.