Creative Zone Dalam DSLR
Seperti yang saya terangkan dalam entri-entri saya yang sebelum ini, mod-mod dalam DSLR terbahagi kepada dua iaitu Basic Zone dan Creative Zone. Dan dalam entri kali ini saya akan menerangkan tentang kegunaan creative zone dan bagaimana dia amat berguna dalam dunia fotografi. Seperti yang anda tahu, semua jurufoto profesional akan menggunakan mod-mod yang terdapat di creative zone ini. Hal ini kerana mod-mod yang terdapat di dalam zon ini memberikan pengguna kawalan yang lebih luas dari pelbagai aspek yang akan saya terangkan dalam entri kali ini. Dalam entri ini, saya akan terangkkan kawalan-kawalan yang ditawarkan mengikut mod-mod.
Mod Program (P)
Jika anda lihat dalam simbol mod-mod itu, terdapat satu mod yang bertanda ‘P’ atau Program. Dalam mod ini, kawalan yang boleh anda kawal adalah ‘picture style’ dan kelajuan ISO. Dalam setting picture style, anda boleh mengawal sharpness, contrast, hue dan saturation. Saya akan terangkan dalam entri yang berikutnya bagaimana untuk menetapkan ciri-ciri ini untuk menjadikan gambar anda lebih cantik dan bersesuaian dengan tema yang anda inginkan. Kelajuan shutter dan saiz aperture akan ditetapkan secara automatik.
Mod Shutter Priority (Tv)
Mod yang seterusnya yang terdapat dalam zon ini adalah ‘Tv’ atau Shutter Priority. Sesetengah DSLR menunjukkan mod ‘T’ sebagai simbolnya, namun ianya masih mod yang sama. Dalam mod ini, kawalan yang pengguna dapat manipulasi adalah Picture Style, kelajuan ISO dan kelajuan shutter. Jurugambar kebiasaannya menggunakan mod ini untuk mengawal kelajuan shutter dan membiarkan saiz aperture ditentukan oleh kamera secara automatik. Info lebih lanjut mengenai kelajuan shutter terdapat di sini.
Mod Aperture Priority (Av)
Mod ini adalah antara mod yang paling kerap saya gunakan untuk mengambil gambar-gambar majlis dan resepsi. Dalam mod ini, pengguna boleh mengawal Picture Style, Kelajuan ISO dan saiz aperture. Jurugambar menggunakan mod ini untuk mengawal kedalaman fokus (deph of field) dan membiarkan kelajuan shutter ditetapkan secara automatik oleh kamera. Mod ini biasanya digunakan untuk mengambil gambar yang akan berlaku secara spontan kerana mengambil masa yang kurang untuk mengubah tetapan berbanding mod lain. Info lebih lanjut mengenai aperture terdapat di sini.
Mod Manual (M)
Mod ini biasanya digunakan di dalam studio dimana suasana dan pencahayaan yang terkawal. Di dalam mod ini, skop kawalannya adalah lebih luas dimana pengguna boleh mengawal Picture Style, Kelajuan ISO, saiz aperture dan kelajuan shutter. Mod ini biasanya digunakan dalam suasana yang terkawal kerana mengambil masa yang lama untuk menetapkanya sebagaimana mod ini mempunyai skop kawalan yang lebih luas.
Jika kita dapat lihat, semua mod-mod dalam zon kreatif ini membenarkan pengguna mengawal picture style dan kelajuan ISO secara manual. Apa yang membezakan mod-mod dalam zon kreatif ini adalah kawalan kelajuan shutter dan saiz aperture samada automatik atau manual. Variasi yang terdapat dalam DSLR ini akan menghasilkan gambar yang cantik dan hidup sekiranya ditetapkan dengan betul.

