banneraku

'

Basic Zone Dalam Kamera

Kebanyakan pengguna biasa atau amatur mungkin akan memilih mod-mod yang terdapat di zon ini. Hal ini kerana mod-mod di dalam zon ini mempunyai skop kawalan yang lebih kecil dan memudahkan pengguna. Pengguna hanya perlu menekan butang shutter-release. Pengguna boleh melupakan tetapan yang lain kerana telah ditetapkan secara automatik oleh kamera itu.

Mod Auto
Antara mod yang terdapat di dalam basic zone ini adalah  full auto. Dengan memilih mod ini, segala tetapan akan dikawal secara automatik oleh kamera itu sendiri. Kawalan warna, ketajaman, dan ketepuan gambar ditetapkan sebagai nilai 0 dalam mod ini. Manakala shutter speed dan saiz aperture pula ditetapkan auto dan akan berubah-ubah mengikut keadaan gambar.

Mod Portrait
Apabila anda menukar ke mod ini, kamera akan menetapkan aperture yang besar (nilai f yang kecil), untuk menjadikan latarbelakang subjek menjadi tidak fokus atau mengurangkan kedalaman fokus. Mod ini amat berguna jika anda ingin mengambil gambar yang mengandungi satu subjek. Tetapan yang lain adalah ditetapkan auto dan akan berubah-ubah mengikut kesesuaian gambar.

Mod Landscape
Mod ini adalah mod yang berlawanan dengan mod portrait. Dalam mod ini, saiz aperture akan ditetapkan sekecil yang mungkin (nilai f yang besar) untuk meningkatkan kedalaman fokus supaya gambar yang anda ambil akan tetap fokus walau jauh mana jarak anda dengan subjek. Mod ini sesuai digunakan jika anda ingin mengambil gambar yang luas dan gambar yang mempunyai jarak yang jauh dari satu titik gambar ke satu titik dalam gambar yang sama.  Tetapan yang lain dalam mod ini ditetapkan auto dan akan berubah mengikut keadaan gambar.

Mod Macro
Jika anda ingin mengambil gambar sesuatu subjek yang kecil seperti bunga atau serangga, mod ini adalah yang paling sesuai. Dengan mod ini, anda boleh mengambil gambar lebih dekat dari biasa untuk mewujudkan konsep macro. Lens yang berlainan mempunyai tetapan macro yang berbeza termasuklah jarak minima fokus (kebiasaannya 2 – 10 cm). Jika anda meletakkan jarak kamera anda lebih dekat dari jarak ini, maka kamera anda tidak akan dapat fokus subjek tersebut kerana melebihi tahap minima fokus. Dalam mod ini anda tidak digalakkan untuk menggunakan flash kerana gambar yang anda ambil akan kelihatan sangat terang. Dalam mod ini juga, kedalaman fokus adalah terlalu cetek dan jika anda perasan, untuk fokus dalam mod ini adalah lebih sukar berbanding mod lain kerana jika anda mengubah kedudukan kamera walau sedikit, subjek akan mudah kelihatan kabur.

Mod Sports
Mod sports atau juga dikenali sebagai mod action digunakan sekiranya anda ingin mengambil gambar objek yang bergerak.  Dalam mod ini, shutter speed ditetapkan tinggi untuk memastikan gambar yang diambil tidak kabur dan tajam. Ketika mengambil gambar dalam mod ini, anda boleh mengambil gambar dengan menggerakkan titik fokus bersama-sama objek atau statik pada satu tempat dan membiarkan hanya subjek yang bergerak. Tetapan lain pada mod ini ditetapkan auto dan akan berubah-ubah mengikut keadaan.

Mod Night
Sering kali apabila anda mengambil gambar dalam suasana yang gelap, anda akan mendapati subjek anda terang tetapi latarbelakang subjek menjadi gelap apabila menggunakan flash. Dalam mod ini, kamera akan ditetapkan supaya subjek dan latarbelakang menjadi terang dan jelas. Perkara asas dalam mod ini hanyalah dengan menetapkan shutter speed yang rendah dan menggunakan flash sama ada flash dalaman atau flash tambahan. Dalam mod ini, anda dinasihatkan untuk menggunakan tripod stand kerana gambar anda berisiko menjadi kabur.

Untuk mod flash off pula, hanya flash akan ditetapkan off dan tidak akan terbuka secara automatik sepertimana dalam mod auto. Tetapan yang lain ditetapkan auto dan dikawal oleh kamera dan akan berubah mengikut keadaan.